Karangan STPM (Isu Laman Sosial)
Soalan Karangan Percubaan STPM Negeri Selangor
2011
Pada masa ini,
penggunaan laman sosial melalui internet amat popular di Malaysia.
Jelaskan
implikasi penggunaan laman sosial ini terhadap masyarakat.
Pada
masa ini, penggunaan laman sosial melalui internet amat popular di Malaysia.
Laman sosial seperti “Facebook”, “My Space”, “Frienster”, dan sebagainya
mendapat perhatian masyarakat di negara ini. Penggunaannya yang mudah serta
senang diakses oleh masyarakat merupakan antara kelebihannya. Terdapat
sesetengah anggota masyarakat di Malaysia yang telah menjadikan penggunaan
laman sosial di internet ini sebagai medium untuk mengisi kekosongan waktu
mereka. Hal ini disebabkan oleh aplikasi yang terdapat di laman sosial yang
canggih dapat menarik perhatian masyarakat di Malaysia. Secara tidak langsung,
penggunaan laman sosial ini memberikan kesan terhadap gaya hidup masyarakat di
Malaysia.
Penggunaan laman sosial seperti
“Facebook” yang meluas dalam kalangan masyarakat boleh menyebabkan fitnah dan
mudah disebarkan kepada semua pengguna laman sosial tersebut. Sebagai
contohnya, negara kita pernah digemparkan dengan satu berita perceraian yang
berlaku dalam akaun facebook. Hal ini telah mendapat kritikan daripada majoriti
rakyat Malaysia yang menyifatkan bahawa perbuatan sedemikian amat memalukan
kita kerana telah mencemarkan keluhuran peribadi sebagai penganut agama Islam.
Selain itu, implikasi seperti itu telah menyebabkan segelintir pengguna
aplikasi tersebut yang tidak bertanggungjawab dan mencetuskan kontroversi di
alam maya, sehingga mengaibkan seseorang. Jelaslah bahawa penggunaan laman
sosial akan menghakis semangat persaudaraan seerta mencemarkan kedaulatan
negara sebagai negara yang disegani dan berintegriti.
Kesan lain penggunaan laman sosial melalui internet menyebabkan berlakunya
banyak penipuan atau pemalsuan. Hal ini demikian kerana, terdapat banyak kes
penipuan yang berlaku terutamanya dalam kalangan remaja perempuan. Perkara ini disebabkan
oleh mereka yang baru dikenalinya melalui laman sosial. Mereka biasanya akan
mengikut semua kemahuan yang diminta oleh rakan dalam laman sosial tersebut.
Sebagai contohnya, perkara ini berlaku apabila pasangan dalam laman sosial
menghantar sistem pesanan ringkas(sms) untuk membuat temu janji dengan
menyatakan tempat dan masanya. Seterusnya, remaja perempuan tersebut akan pergi
ke tempat yang telah dinyatakan tanpa berfikir panjang. Namun demikian,
setibanya di tempat yang dinyatakan oleh kenalan laman sosial itu, mereka
mungkin ditipu dan ada juga yang telah menjadi mangsa rogol.
Penggunaan laman sosial juga melahirkan masyarakat yang beku dan lalai dalam
melakukan sesuatu tugasan. Kepelbagaian aplikasi yang menarik seperti
permainan yang terdapat dalam laman sosial mampu menarik minat pengguna laman
sosial tersebut. Hal ini menyebabkan pengguna akan berasa seronok sehingga leka
dan lalai untuk menyempurnakan urusan mereka. Tambahan pula, penggunaan laman
sosial juga memberikan kesan kepada prestasi kerja dan pelajaran dalam kalangan
anggota masyarakat. Hal ini akan menyebabkan negara kita mengalami
kebejatan idea untuk meningkatkan prestasi negara. Golongan pelajar yang
menjadi tunjang kecemerlangan negara tidak dapat dilahirkan ekoran penggunaannya
yang melalaikan masyarakat. Oleh itu, penggunaan laman sosial akan melahirkan
tenaga kerja yang kurang berkualiti.
Kesan
penggunaan laman sosial yang seterusnya ialah tersebarnya pengaruh atau unsur
pornografi daripada Barat ke dalam kehidupan masyarakat. Unsur pornografi mudah
didapati di laman sesawang internet. Unsur pornografi seperti bahan bacaan,
gambar, dan video mudah diakses dan disebarkan oleh pengguna laman sosial
tersebut. Hal ini demikian kerana, laman sosial seperti “Facebook” dan “My
Space” diakses bukan sahaja oleh rakyat Malaysia malahan seluruh penduduk di
dunia. Selain itu, budaya Barat seperti “Black Metal”, “Punk”, “Gothic”, dan
“Skin Head” akan menular dalam pemikiran remaja di Malaysia. Perkara ini akan
mempengaruhi remaja untuk meniru budaya sehingga wujud budaya hedonisme dan
gengsterisme di sekolah. Jelaslah bahawa penggunaan laman sosial dapat
mempengaruhi pemikiran anak muda sehingga menghakis nilai-nilai moral
masyarakat.
Penggunaan laman sosial juga
memberikan kesan kepada kedaulatan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Kedaulatan bahasa Melayu akan tercemar ekoran daripada kemunculan bahasa slanga
atau lebih dikenali sebagai bahasa rojak. Penggunaan bahasa rojak dalam
kalangan masyarakat amat membimbangkan cendekiawan bahasa di Malaysia kerana
penggunaanya semakin meluas. Penularan bahasa rojak ini akan menghakis keaslian
dan nilai-nilai estetika bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara kita. Oleh
hal yang demikian, jelaslah bahawa penggunaan teknologi ini boleh mencemarkan
kedaulatan bahasa Melayu yang menyebabkan kita seperti ditelan mati emak,
diluah mati bapak.
Kesimpulannya, penggunaan
laman sosial melalui internet memberikan kesan terhadap corak kehidupan
masyarakat di Malaysia. Oleh itu, ibu bapa perlu memainkan peranan penting
untuk mengelakkan kesan buruk akibat penggunaannya kerana mencegah lebih baik
daripada mengubati. Selain itu, masyarakat perlu mempunyai disiplin dan
ketahanan diri bagi mengubah corak hidup dengan menggunakan laman sosial itu
untuk kegunaan yang baik dan aktiviti-aktiviti yang bermanfaat bagi
meningkatkan kecekapan minda masyarakat supaya menjadi minda kelas pertama.
Masyarakat juga perlu memastikan penggunaan teknologi ini dapat diseimbangkan
tanpa berlaku pengeksploitasian dalam kehidupan bermasyarakat di Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan