ISU PEMERDAGANGAN MANUSIA
Sejak akhir-akhir ini,
kes pemerdagangan manusia merupakan masalah global atau isu antarabangsa yang
kian meningkat jumlah statistiknya. Mengikut laporan Amnesty International,
pada tahun 2004 sahaja dianggarkan 700,000 orang diperdagang setiap tahun bagi
tujuan seks. Bagaimanapun, amat malang sekali kerana Malaysia dilihat sebagai
tempat menarik oleh sindiket pemerdagangan manusia untuk menjalankan aktiviti
mereka. Pemerdagangan manusia ini telah menjejaskan reputasi negara dan usaha
telah dijalankan oleh pihak berkuasa untuk menjaga imej negara. Pertubuhan
Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pula menganggarkan kira-kira 150,000 orang,
majoriti daripadanya adalah kanak-kanak, diseludup dari kawasan Asia Selatan
setiap tahun, tetapi penyelidik membuat jangkaan angka ini mungkin tiga kali
ganda berikutan keuntungan yang dijana industri itu kira-kira RM110.5 bilion
(US$32 bilion) setahun.
Sebenarnya, kesedaran
masyarakat Malaysia tentang isu pemerdagangan manusia ini masih lagi rendah
malah masih ramai yang tidak memahami definisi sebenar yang dimaksudkan dengan
pemerdagangan orang. Pemerdagangan manusia bermaksud perekrutan, pengangkutan,
pemindahan, pelindungan, penyediaan atau penerimaan seseorang bagi maksud
eksploitasi (Seksyen 2 AAO). Di mana modus operandi termasuklah, penggunaan
ancaman atau penggunaan bentuk tekanan lain, penculikan, penipuan, kecurangan,
penyalahgunaan kuasa, kedudukan berisiko atau rawan, dan memberi atau menerima
pembayaran. Pengeksploitan pemerdagangan manusia termasuk memaksa orang
melakukan pelacuran atau bentuk eksploitasi seks lain, buruh paksa, hamba atau
amalan yang sama seperti perhambaan. Bagi kanak-kanak, ekploitasi termasuk
untuk tujuan pelacuran, pengambilan anak angkat antarabangsa yang tidak sah,
perkahwinan kanak-kanak, atau pengambilan kanak-kanak sebagai tentera, pengemis
dan tujuan permainan, atau untuk tujuan kegiatan keagamaan.
Antara faktor-faktor
yang menyumbang kepada berlakunya masalah perdagangan manusia ini adalah
penguatkuasaan undang- undang yang lemah, kurang pendedahan mengenai jenayah
pemerdagangan manusia, kemiskinan atau kesempitan hidup, terpengaruh
tawaran kerja, kurang didikan moral atau agama, materialistik dan sebagainya.
Jenayah pemerdagangan
manusia ini banyak memberi kesan buruk kepada negara. Langkah berkesan amat
perlu untuk membendung masalah ini. Antara kesan buruknya adalah meningkatkan
kes berlakunya jenayah dalam negara, menyebabkan imej negara tercemar di
peringkat dunia, masalah sosial meningkat, penyakit berjangkit merebak dan
banyak berlakunya penindasan.
Walau bagaimanapun
Kerajaan telah melaksanakan pelbagai langkah dan usaha bagi membendung isu
pemerdagangan manusia ini. Kerajaan mengambil tindakan yang lebih teratur
melalui Pelan Tindakan Kebangsaan Antipemerdagangan Orang yang menetapkan hala
tuju dan fokus dalam usaha mencegah dan membanteras gejala pemerdagangan orang.
Berikutan itu,
Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007 telah dipinda bagi memasukkan kesalahan
penyeludupan migran untuk dijadikan akta baru yang kini dikenali sebagai Akta
Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Pemerdagangan Migran 2007 yang
dikuatkuasakan. Kerjasama maksimum daripada orang awam dan agensi
penguatkuasa juga dipertingkatkan. Pengarah Jabatan siasatan Jenayah Bukit
Aman Datuk Mohd Bakri Zinin memberi jaminan polis akan mengambil langkah
berterusan memerangi pemerdagangan manusia dengan mengadakan lebih banyak
operasi dalam usaha menyelamatkan mangsa sindiket.
Ramai anggota polis
akan ditempatkan di kawasan panas sindiket itu seperti di perairan negara di
Selat Melaka dan Laut China Selatan yang dikenal pasti sebagai laluan masuk
utama sindiket itu sebelum mangsa diperdagangkan ke negara destinasi.
Kesimpulannya, Ditelan
mati emak, diluah mati bapa, Oleh itu, kerjasama serantau amatlah diperlukan
agar segala penyelesaian dapat diambil secara bijaksana. Aktiviti pemerdagangan
orang ini mempunyai jaringan dan sindiket profesional yang harus dilihat secara
menyeluruh dan jika tidak dibanteras secepat mungkin kerana ianya boleh
menjejaskan imej, prestasi dan nama baik negara di mata dunia terutama imej
Malaysia sebagai sebuah negara Islam contoh.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan